Syeikh Nuruddin ar-Raniri

Syeikh Nuruddin ar-Raniri
Ulama ahli debat

 
PADA mukadimah dan penutup tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri keluaran yang lalu, telah saya singgung gambar imaginasi. Dalam artikel ini disiarkan gambar imaginasi Syeikh Nuruddin ar- Raniri yang juga tiada siapa yang tahu penciptanya, seperti Syeikh Hamzah al-Fansuri juga. Sebagaimana Syeikh Hamzah al-Fansuri, nama Syeikh Nuruddin ar-Raniri cukup banyak mendapat perhatian dan ditulis orang. Jauh sebelum kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri ke Aceh, pada masa pemerintahan Sultan Husein (pengganti Sultan sebelumnya), yang mangkat tahun 975 H/1567 M, di Aceh telah ada seorang ulama yang digelar Syeikh Nuruddin. Mengenainya disebut dalam Hikayat Aceh.

 
Perlu dibezakan, apabila kita menulis nama lengkap Syeikh Nuruddin ar-Raniri dengan nama ayah saudaranya yang pernah datang ke Aceh. Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diriwayatkan ini nama lengkapnya berdasarkan kepada karya-karyanya ialah Syeikh Nuruddin Muhammad ibnu 'Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid ar-Raniri al-Quraisyi. Syeikh Nuruddin ar-Raniri walau pun berasal daripada keturunan Arab di India dari pihak ayahnya dan bangsa Melayu dari sebelah ibu, namun beliau lama tinggal di Pahang dan Aceh, dan banyak mengarang kitab-kitab dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar

 
 
karangannya ditujukan membantah fahaman 'Wahdatul Wujud' yang diajarkan oleh Syeikh
Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i.

 
Banyak perkara menarik mengenai ulama ini, di antaranya kitab fikah dalam bahasa Melayu yang pertama sekali berjudul ash-Shirath al-Mustaqim adalah karya beliau. Demikian juga mengenai kitab hadis yang berjudul al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadits an- Nabawiyah atau judul lainnya Hidaya al-Habib fi at-Targhib wa at-Tarhib, adalah kitab membicarkan hadis yang pertama sekali dalam bahasa Melayu.

 
Hampir semua penulis menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilahirkan di Ranir, berdekatan dengan Gujarat. Asal usul beliau ialah bangsa Arab keturunan Quraisy yang berpindah ke India. Tetapi salah seorang muridnya bernama Muhammad 'Ali atau Manshur yang digelarkan dengan Megat Sati ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa'id Ja'far Shadiq ibnu
'Abdullah dalam karyanya Syarab al-'Arifin li Ahli al-Washilin menyebut bahawa Syeikh
Nuruddin ar-Raniri adalah "Raniri negerinya, Syafi'ie nama mazhabnya, Bakri bangsanya."

 
Pendidikan asasnya dipercayai diperolehnya di tempat kelahirannya Raniri atau Rander. Raniri/Rander, sebahagian riwayat mengatakan berdekatan dengan Kota Surat, dan riwayat lain mengatakan dekat Bikanir, kedua-duanya di negeri India. Syeikh Nuruddin ar- Raniri berhasil berangkat ke Mekah dan Madinah dalam tahun 1030 H/1621 M dan di sana beliau sempat belajar kepada Syeikh Abu Hafash 'Umar bin 'Abdullah Ba Syaiban atau nama lain ulama ini ialah Saiyid 'Umar al-'Aidrus. Kepada ulama ini beliau mengambil bai'ah Thariqat Rifa'iyah. Dalam sektor Thariqat Rifa'iyah itu syeikh yang tersebut adalah murid kepada Syeikh Muhammad al-'Aidrus. Selain Thariqat Rifa'iyah, Syeikh Nuruddin ar- Raniri juga pengamal Thariqat Qadiriyah.

 
Kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri buat pertama kalinya ke Aceh diriwayatkan dalam tahun 1577 M, tetapi ada juga ahli sejarah mencatat bahawa beliau sampai di Aceh pada tahun 1637 M. Ini bererti setahun setelah mangkatnya Sultan Iskandar Muda (memerintah dari tahun 1606 M hingga 1636 M). Syeikh Nuruddin ar-Raniri seakan-akan kedatangan pembawa satu pendapat baru, yang asing dalam masyarakat Aceh. Setiap sesuatu yang baru selalu menjadi perhatian dan pengamatan orang, sama ada pihak kawan atau pun pihak lawan. Fahaman baru yang dibawa masuk oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu ialah fahaman anti atau penolakan tasawuf ajaran model Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Kedua-dua ajaran ulama sufi itu adalah sesat menurut pandangan beliau.

 
Syeikh Nuruddin ar-Raniri mendapat tempat pada hati Sultan Iskandar Tsani, yang walaupun sebenarnya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda beliau tidak begitu diketahui oleh masyarakat luas.

 
Oleh sebab ketegasan dan keberaniannya ditambah lagi, Syeikh Nuruddin ar-Raniri menguasai berbagai-bagai bidang ilmu agama Islam, mengakibatkan beliau sangat cepat menonjol pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani itu. Akhirnya Syeikh Nuruddin ar-Raniri naik ke puncak yang tertinggi dalam kerajaan Aceh, kerana beliau mendapat sokongan sepenuhnya daripada sultan. Beliau memang ahli dalam bidang ilmu Mantiq (Logika) dan ilmu Balaghah (Retorika). Dalam ilmu Fikah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah penganut Mazhab Syafie, walaupun beliau juga ahli dalam ajaran mazhab-mazhab

 
 
yang lainnya. Dari segi akidah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah pengikut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang berasal daripada Syeikh Abul Hasan al-Asy'ari dan Syeikh Abu Manshur al-Maturidi. Pegangannya dalam tasawuf ialah beliau adalah pengikut tasawuf yang mu'tabarah dan pengamal berbagai-bagai thariqah sufiyah. Tetapi suatu perkara yang aneh, dalam bidang tasawuf beliau menghentam habis-habisan Syeikh Hamzah al- Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Walau bagaimanapun Syeikh Nuruddin ar- Raniri tidak pernah menyalahkan, bahkan menyokong Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Abi Yazid al-Bistami, 'Abdul Karim al-Jili, Abu Manshur Husein al-Hallaj dan lain-lain. Perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang keluar daripada ulama-ulama sufi yang tersebut itu tidak pernah beliau salahkan tetapi sebaliknya perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang berasal daripada Syeikh Hamzah al- Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i selalu ditafsirkan secara salah oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Di dalam karyanya Fath al-Mubin
'ala al-Mulhidin, Syeikh Nuruddin ar-Raniri berpendapat bahawa al-Hallaj mati syahid. Katanya: "Dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua." Padahal jika kita teliti, sebenarnya Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu pegangannya tidak
ubah dengan al-Hallaj.

 
Ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i berpunca daripada ajaran Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Syeikh Abi Yazid al-Bistami, Syeikh 'Abdul Karim al- Jili dalam satu sektor. Dan bahagian lain juga berpunca daripada ajaran Imam al-Ghazali, Syeikh Junaid al-Baghdadi dan lain-lain, adalah dipandang muktabar, sah dan betul menurut pandangan ahli tasawuf. Bahawa ajaran tasawuf telah berurat dan berakar di kalbi, bahkan telah mesra dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, dari kulit hingga daging, dari tulang hingga ke sumsum pencinta-pencintanya, yang tentu saja mereka mengadakan tentangan yang spontan terhadap Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Bahkan kepada siapa saja yang berani menyalah-nyalahkan pegangan mereka. Pengikut-pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i menganggap kedua-dua guru mereka adalah wali Allah, yang faham terhadap pengetahuan syariat, tarekat, haqiqat dan makrifat. Mereka beranggapan, walaupun diakui bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri sebagai seorang ulama besar, yang dikatakan juga telah mengetahui ilmu tasawuf, namun tasawuf yang diketahui oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu hanyalah tasawuf zahir belaka. Bahawa beliau hanyalah mengetahui kulit ilmu tasawuf, tetap tidak sampai kepada intipati tasawuf yang sebenar-benarnya. Bahawa beliau baru mempunyai ilmu lisan sebagai hujah belaka, tetapi belum mempunyai ilmu kalbi, yang dinamakan juga dengan ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, wajiblah mereka membela guru mereka yang mereka sanjung tinggi itu.

 
Selama menetap di Pahang atau pun setelah beliau pindah ke Aceh, ramai penduduk yang berasal dari dunia Melayu belajar kepada ulama besar yang berasal dari India itu, namun sampai riwayat ini saya tulis, belum dijumpai tulisan yang menyenaraikan nama murid- murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Untuk memulakan penjejakan mengenainya di sini dapat saya perkenalkan hanya dua orang, iaitu: Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi/al-Maqasari al- Khalwati yang berasal dari Makasar/tanah Bugis. Tidak begitu jelas apakah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati ini belajar kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu beliau masih di Aceh atau pun Syeikh Yusuf datang menemui Syeikh Nuruddin ar-Raniri di negerinya, India. Sementara pendapat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Khalwati benar-benar dapat berguru kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu masih di Aceh lagi, dan Syeikh

 
 
Yusuf Tajul Khalwati menerima bai'ah Tarekat Qadiriyah daripada Syeikh Nuruddin ar- Raniri. Yang seorang lagi ialah Syeikh Muhammad 'Ali, ulama ini berasal dari Aceh.

 
Ada yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia di India. Pendapat lain menyebut bahawa beliau meninggal dunia di Aceh. Ahmad Daudi, menulis: "Maka tiba-tiba dan tanpa sebab-sebab yang diketahui, Syeikh Nuruddin ar-Raniri meninggalkan Serambi Mekah ini, belayar kembali ke tanah tumpah darahnya yang tercinta, Ranir untuk selama- lamanya. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1054 H (1644 M)." Bahawa beliau meninggal dunia pada 22 Zulhijjah 1069 H/21 September 1658 M. Tetapi Karel A. Steenbrink dalam bukunya, Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat berpendapat lain, bahawa hingga tahun
1644 M bererti Syeikh Nuruddin masih berada di Aceh. Menurutnya terjadi diskusi yang terlalu tajam antara beberapa kelompok pemerintah: Seorang uskup agung (ar-Raniri) di satu pihak dan beberapa hulubalang dan seorang ulama dari Sumatera Barat di pihak lain. Pihak yang anti ar-Raniri akhirnya menang, sehingga ar-Raniri dengan tergesa-gesa kembali ke Gujarat. Tulisan Karel itu barangkali ada benarnya, kerana secara tidak langsung Syeikh Nuruddin mengaku pernah kalah berdebat dengan Saiful Rijal, penyokong fahaman Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, perkara ini beliau ceritakan dalam kitab Fath al-Mubin.

 
Ada pun tempat meninggalnya, H.M. Zainuddin, berbeza pendapat dengan Ahmad Daudi di atas. Menurut Zainuddin dalam Tarich Atjeh Dan Nusantara, jilid 1, bahawa terjadi pertikaian di istana, dalam perebutan itu telah terbunuh seorang ulama, Faqih Hitam yang menentang tindakan Puteri Seri Alam. Dalam pada itu Syeikh Nuruddin diculik orang, kemudian mayatnya diketemukan di Kuala Aceh. Menurut H.M. Zainuddin pula, bahawa makam Syeikh Nuruddin itu dikenal dengan makam keramat Teungku Syiahdin (Syeikh Nuruddin ar-Raniri) terletak di Kuala Aceh.

 
Dalam masa pemerintahan Iskandar Muda, kerajaan Aceh maju, ajaran sufi tidak menghalang kemajuan yang berasaskan Islam. Sebaliknya masa pemerintahan Iskandar Tsani, ajaran sufi dianggap sesat, ternyata kerajaan Aceh mulai menurun. Bantahan terhadap sesuatu pegangan yang pernah berkembang di dunia Islam perlulah ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Siapa saja yang memegang urusan keislaman janganlah tersalah penilaian, sering terjadi yang benar menjadi salah, atau sebaliknya yang salah menjadi benar.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Ulama tersohor di Aceh

 
PELBAGAI tanggapan dan persepsi mengenai bencana tsunami yang berlaku pada 26
Disember tahun lalu. Macam-macam andaian dan analisis spontan di sebalik tragedi itu. Secara umumnya kejadian itu adalah takdir Allah s.w.t. Namun ada segelintir manusia yang berpandangan lain. Ada yang menganggap kejadian itu disebabkan balasan Tuhan ke atas keingkaran dan kedegilan sebahagian hamba-Nya?

 
Setiap kejadian ada hikmah dan sebab musababnya. Tidak wajar kita menganggap sesuatu kejadian itu diturunkan khusus untuk `membalas' dosa atau perbuatan mungkar sesuatu golongan. Selalunya bencana yang Allah turunkan berbentuk umum. Tuhan menurunkan sesuatu musibah ataupun nikmat untuk dijadikan iktibar oleh hamba-hamba- Nya dalam usaha mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketakwaan seseorang.

 
Di Kampung Kuala, Aceh setengah masyarakat menganggap kononnya kejadian itu dikaitkan dengan karamah seorang ulama atau wali. Dikatakan kejadian itu terjadi disebabkan    kedegilan    dan    kemungkaran    manusia.    Kononnya    mereka    melakukan kemungkaran di perkarangan makam ulama terkenal di situ. Malam sebelum bencana tsunami melanda Aceh, diadakan pesta tari menari, minum minuman keras dan sebagainya berhampiran makam ulama berkenaan. Seorang imam masjid di kampung berkenaan cuba melarang, tetapi diancam akan ditembak sekiranya terus mengganggu mereka.

 
Kebetulan esoknya 26 Disember, tsunami melanda Aceh. Kawasan tersebut mengalami kerosakan teruk. Kerana (kebetulan) kejadian itu, sebilangan masyarakat di situ begitu kuat meyakini ia adalah balasan Tuhan di atas kedegilan dan kejahilan manusia yang
`menceroboh' makam ulama berkenaan. Apa yang hendak dinukilkan di sini ialah mengenai serba sedikit sejarah dan riwayat kealiman ulama yang dimaksudkan, iaitu Syeikh Kuala.

 
Kehebatan Syeikh Kuala memang tidak boleh dinafikan di Aceh. Beliau terkenal ke seantero Indonesia malahan Nusantara dan kepulauan Melayu. Di Aceh sendiri beliau di antara beberapa ulama besar dan agung yang menjadi sebutan sepanjang masa. Dalam konteks Aceh beliau dianggap sebagai pelita yang menyalakan syiar Islam di sana khasnya pada abad ke 17. Ulama yang lain ialah Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniry dan Syamsuddin As Samathrani.

 
Hamka di dalam makalahnnya berjudul Aceh Serambi Mekah (lihat buku Sejarah Masuk dan Berkembangnya Islam di Indonesia - Prof. A Hasjmy, Al Maarif, 1993) menyebut,
``Apabila kita sebut nama dua orang ulama Aceh akan samalah erti seribu atau dua ribu

 
 
orang.'' Kata-kata itu dirujuk kepada salah seorang ulama di atas iaitu Syeikh Kuala. Maknanya kehebatan dan kealiman Syeikh Kuala sama taranya dengan kewarakan dan kealiman seribu hingga dua ribu manusia lain.

 
Idola

 
Nama penuh Syeikh Kuala ialah Abdurrauf dan ditimangkan dengan nama Syeikh Amiruddin Syeikh Abdurrauf Al-Fansuri As-Singkly. Beliau lahir pada 1001 H (1593 M) di Singkel sebuah perkampungan di pesisir pantai di Aceh. Ayahnya bernama Ali Al-Fansuri merupakan pengasas Sekolah Agama Dayah Simpang Kanan dan seorang ulama terkenal di daerahnya.

 
Fansuri di hujung namanya adalah sempena nama salah seorang idola (gurunya), Hamzah Fansuri dan sekolah tempatnya mula-mula belajar. Abdurrauf berpengetahuan luas dalam serba serbi cabang ilmu. Beliau menguasai ilmu fikah, tasauf, mantik, falsafah, hukum, kaji alam dan sebagainya. Beliau adalah gedung ilmu kepada masyarakat Aceh khususnya pada zaman Sultan Safiatuddin Johan Berdaulat (1641 -1675).

 
Malah pada zaman pemerintahan tiga ratu yang akhir (pemerintah Raja Perempuan); Nurul Alam, Zakiatuddin dan Kamalat Syah, Abdurrauf bertindak menjadi pemerintah di belakang tabir. Atas kapasitinya sebagai Kadi Malaliku Adil (Kadi Besar) beliau yang memutuskan segala hukum dan menjadi penasihat atau tempat rujukan utama kepada pemerintah. Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri di Dayan (Madrasah) Simpang Kanan, di kawasan pedalaman Singkel. Selepas itu ke sekolah tinggi di Barus (Dayan Tengku Chik) yang dipimpin oleh Hamzah Fansuri. Di sekolah ini beliau belajar ilmu agama, sejarah, mantik, falsafah, sastera Arab/Melayu dan juga bahasa Parsi.

 
Setelah tamat belajar di sekolah berkenaan beliau meneruskan pengajian ke sekolah Samudra Pase yang dipimpin oleh Syeikh Syamsuddin As Samathrani, salah seorang ulama yang juga merupakan pengikut kepada Hamzah Fansuri yang beraliran atau berfahaman
`wahdatul wujud'.

 
Sewaktu Syamsuddin diangkat menjadi Qadli Malikul Adil (Kadi Besar) pada zaman Sultan Iskadar Muda Darma Wangsa Perkasa Alam Syah, Abdurrauf bertolak ke Mekah dan merantau ke beberapa buah negara Asia Barat lain untuk mendalami ilmu di sana. Semasa di Mekah beliau tinggal di Qusyasy dan belajar dengan Sheikh Sharifuddin Ahmad Al Dajaany Al Qusyasy (1583 - 1660) bertempat di rumah Aceh. Beliau dibantu oleh muridnya Sheikh Ibrahim Al-Kauraany (1616-1689).

 
Semasa di sini beliau bergaul dengan banyak ulama terkenal berasal dari Indonesia yang menuntut ilmu di sana, seperti Sheikh Nawawi Bantan, Sheikh Abdul Samad Petani dan lain-lain. Beliau juga sempat belajar dengan Sheikh Nuruddin Ar-Raniry semasa ulama terkenal dengan fahaman `wahdatul syuhud' itu berada di Mekah.

 
Beliau tinggal selama 19 tahun di Mekah. Pada tahun 1063 H beliau kembali semula ke Aceh. Dan apabila Nuruddin Ar-Raniry kembali ke Gujarat, India beliau dilantik menjadi Kadi Besar menggantikan Nuruddin. Sebelum pada itu Abdurauf menjadi mudir (guru besar) di Dayah Baiturrahman. Peranannya sebagai kadi cukup besar serta berpengaruh

 
 
dan peluang ini secara tidak langsung membawa kepada kemajuan dan pengembangan Islam di Aceh, khususunya dan di Nusantara amnya. Aceh yang sudah dikenali dengan jolokan serambi Mekah terus diunggulinya.

 
Kombinasi beliau dengan Sutlan Iskandar Muda meletakkan Aceh di tempat tertinggi dalam peta Islam ketika itu. Keagungan ini begitu dijulang oleh warga Aceh sehingga terbetik kata di dalam bahasa Aceh berbunyi ``Adat bak peutus Merehum, syarak bak Syikeh di Kuala'' maksudnya, ``Adat di bawah kekuasaan almarhum (raja), semantara syariat (Islam) di bawah Syeikh Kuala.

 
Musnah

 
Ayat ini mejelaskan betapa besarnya kuasa, peranan dan pengaruh Abdurrauf dalam pemerintahan ketika itu yang hampir sama besar dengan kuasa sultan. Ketika gabungan antara umara dan ulama inilah juga Aceh mencapai kegemilangan. Sementara itu Hamka yang juga ahli filsofi dan ulama moden Indonesia, di dalam tulisannya pernah menurunkan sebaris kata-kata yang dinukilkan oleh Fakih Shaghir seorang ulama terkenal di zaman Perang Paderi, iaitu nenek kepada Sheikh Taher Jalaluddin az-Azhari (meninggal dunia pada tahun 1956 di Kuala Kangsar), yang berbunyi:

 
``Maka adalah saya Fakih Shaghir menerima ceriteria daripada saya punya bapa, sebabnya saya mengambil pegangan ilmu hakikat, kerana ceriteria ini adalah ia setengah daripada adat dan tertib waruk orang yang mengambil fatwa juga adanya. Yakni adalah seorang aulia Allah dan khutub lagi kasyaf lagi mempunyai keramat iaitu, di tanah Aceh iaitu Tuan Syeikh Abdurrauf.''

 
Daripada sebaris kata-kata itu dapat disimpulkan bahawa martabat dan darjat Syeikh Kuala, (Abdurrauf) itu bukan kepalang. Beliau adalah seorang ulama yang bertaraf wali dan mendapat keberkatan begitu tinggi di sisi Allah. Walaupun beliau dianggap sebagai ulama yang mempunyai karamah dan diberikan berbagai-bagai keistimewaan (maunah) oleh Allah, tidak banyak karamah yang berunsur karut marut (khurafah) atau di luar pemikiran manusia dinukil pada kanvas kehidupannya. Mungkin perkara ini disembunyikan untuk tidak menimbulkan riak dan kekeliruan kepada umum.