Syeikh Muhammad Nur Al-Fathani pembesar dua pemerintah Mekah

Syeikh Muhammad Nur Al-Fathani pembesar dua pemerintah Mekah

 
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 
RIWAYAT Syeikh Muhammad Nur al-Fathani agak berbeza dengan ulama-ulama lainnya kerana beliau satu-satunya ulama di Mekah yang dapat menjadi orang besar dalam dua pemerintahan. Beliau menjadi orang besar pada zaman pemerintahan Syarif Husein. Apabila    pemerintahan    bertukar    kepada    Ibnu    Sa`ud,    yang    terkenal    dengan    era pemerintahan    Wahabi,    Syeikh    Muhammad    Nur    al-Fathani    masih    tetap    dengan kedudukannya.

 
Ketika bertukar pemerintahan, ramai ulama tidak dapat hidup aman di Mekah. Mereka terpaksa berhijrah ke tempat-tempat lain. Antara ulama yang berhijrah ialah Saiyid Abdullah az-Zawawi, Mufti Mekah, yang berhijrah ke Riau, kemudian terus ke Pontianak,

 
 
lalu menjadi Mufti di kerajaan Pontianak. Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani berhijrah ke
Jambi, kemudian menjadi Syeikh al-Islam di kerajaan Selangor.

 
Dalam beberapa siri lalu, kita telah mengetahui bahawa ada ulama yang terlalu keras dalam mempertahankan pegangan Kaum Tua dan ada pula ulama terlalu aktif dan agresif memperjuangkan Kaum Muda.

 
Berbeza dengan Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, beliau berusaha menyeimbangkan antara kedua-dua golongan itu. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mendapat pendidikan mendalam dalam ilmu tradisi Kaum Tua dan mendapat pendidikan mendalam pula daripada pencetus "Kaum Muda" (Tajdid) itu sendiri. Oleh sebab hingga kini kita belum mengetahui ada seseorang ulama yang berpendirian demikian, dapatlah kita anggap Syeikh Muhammad Nur al-Fathanilah satu-satunya ulama besar yang berani dengan caranya yang tersendiri.

 
Satu keanehan pula baik Kaum Tua ataupun Kaum Muda tidak terdapat kecaman terhadap Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Bererti baik ditinjau dari segi perbahasan dan penyampaian ilmu mahupun dalam pergaulan masyarakat luas, bangsa Melayu, Arab dan antarabangsa di Mekah ketika itu, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani dapat diterima oleh semua pihak. Beliau dikasihi oleh golongan awam dan suaranya dipakai oleh golongan tertinggi penguasa Mekah baik pada zaman pemerintahan Syarif Husein mahupun pada zaman pemerintahan Wahabi.

 
Penyusun

 
Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad Shaghir bin Ismail bin Ahmad al-Fathani. Ayah beliau adalah seorang ulama besar, iaitu Syeikh Muhammad Shaghir al-Fathani yang dinamakan juga Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, penyusun kitab Mathia` al-Badrain yang terkenal.

 
Syeikh Muhammad Nur al-Fathani lahir di Mekah pada tahun 1290 H/1873 M, bererti sama dengan kelahiran Tok Bermin, ulama yang dimuat dalam Halaman Agama Utusan Malaysia pada Isnin lalu. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani juga wafat di Mekah pada tahun 1363
H/1944 M.

 
Syeikh Muhammad Nur al-Fathani adalah keturunan ulama penyebar Islam yang datang ke Patani. Sehingga ke zaman beliau sebahagian besar ahli keluarganya adalah ulama besar belaka. Beliau mendapat pendidikan daripada ayahnya sendiri Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Ahmad al-Fathani, dan lain-lain. Hubungannya dengan Syeikh Ahmad al-Fathani sangat dekat kerana isteri Syeikh Ahmad al-Fathani bernama Hajah Wan Saudah al-Fathani adalah saudara sepupu pada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Ibu Hajah Wan Saudah al-Fathani bernama Hajah Wan Maryam al-Fathani (wafat di Skudai, Johor) adalah adik pada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Syeikh Muhammad Nur al- Fathani pula kahwin dengan saudara sepupu Syeikh Ahmad al-Fathani bernama Hajah Wan Shafiyah binti Syeikh Wan `Ali Kutan al-Kalantani. Ibu Hajah Wan Shafiyah bernama Hajah Wan Aisyah adalah adik-beradik dengan Wan Cik, ibu pada Syeikh Ahmad al- Fathani.

 
 
Daripada maklumat di atas dapat disimpulkan bahawa Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mendapat pendidikan di kalangan keluarga yang menjadi ulama besar sekurang- kurangnya dengan tiga orang, iaitu ayahnya sendiri, Syeikh Wan ï?1/2Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Sebelum Syeikh Muhammad Nur dihantar belajar ke Universiti Al-Azhar, Mesir beliau telah menguasai pelbagai bidang ilmu dan memang sudah menjadi ulama.

 
Ketika belajar di Mesir, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani belajar daripada ramai ulama dalam berbagai-bagai bidang ilmu. Antara gurunya ialah Syeikh Bakhit, ulama dalam Mazhab Hanafi. Sewaktu di Universiti Al-Azhar, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani secara langsung belajar kepada Syeikh Muhammad Abduh, iaitu tokoh yang dianggap pelopor pertama kebangkitan "Tajdid" atau "Reformis" atau disebut juga dengan nama Kaum Muda. Beliau juga pernah belajar dengan Saiyid Rasyid Ridha, iaitu murid dan orang kanan Syeikh Muhammad Abduh.

 
Antara sahabatnya ialah Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi yang kedua-duanya adalah ahli falak. Walau bagaimanapun, karakter kedua-dua ulama tersebut adalah tidak sama. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani daripada satu segi tetap mengikut Mazhab Syafie dan Ahlus Sunnah wal Jamaah dan selalu berlapang dada dalam menghadapi pelbagai isu yang ditimbulkan masyarakat. Apabila Kaum Tua datang menyalahkan Kaum Muda, beliau sambut dengan tersenyum, demikian sebaliknya Kaum Muda datang membidaah dan mengkhurafatkan Kaum Tua juga beliau sambut dengan bermanis muka. Cara ini nampaknya ada persamaan dengan yang dilakukan oleh Tok Kenali Kelantan.

 
Dengan cara demikian akhirnya kedua-dua pihak (Kaum Tua dan Kaum Muda) dengan sendirinya berasa segan kepada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Dari sini dapat kita pelajari bahawa memang ada perbezaan antara Syeikh Muhammad Nur al-Fathani dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi. Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi menjadi pelopor Kaum Muda yang berhaluan keras sehingga beliau banyak dikecam dan dipertikaikan oleh golongan yang tidak sependapat dengannya.

 
Aktiviti

 
Sebagaimana ayahnya menjadi orang besar Islam di Mekah pada zamannya, demikianlah akhirnya dapat dipusakai oleh anak beliau, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani yang diriwayatkan ini. Bahkan lebih jauh daripada itu, kebesaran mereka adalah dipusakai daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, datuk saudara dan moyang saudara kedua- duanya. Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, ayah beliau, adalah satu-satunya orang Melayu yang menjadi "Hakim Syarie Mekah" pada zamannya, bahkan beliau adalah orang Melayu yang pertama dalam jabatan tinggi yang sangat penting itu.

 
Syeikh Muhammad Nur al-Fathani pula adalah seorang "Kadi Mahkamah al-Kubra Mekah" dan beliau pernah menjadi ketua dalam jabatan itu. Selain itu Syeikh Muhammad Nur al- Fathani pernah menjadi "Ketua Syeikh Haji Al-Jawi Mekah". Jawatan ini kembali ke tangan beliau kerana "Syeikh Haji" adalah dicetuskan oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan sekali gus beliaulah sebagai ketuanya pada zaman pemerintahan Turki Uthmaniyah.

 
Di tengah-tengah kesibukan sebagai penguasa tertinggi Islam di Mekah pada zamannya, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani juga menyempatkan diri mengajar baik di rumah

 
 
mahupun di Masjid al-Haram, Mekah. Pada zamannya hampir-hampir tidak ada ulama yang datang dari dunia Melayu ke Mekah yang tidak kenal kepada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Banyak perkara tentang Islam yang datang dari dunia Melayu dirujuk kepada beliau terutama sekali dalam permasalahan ilmu falak.

 
Syeikh Muhammad Nur al-Fathani adalah seorang ulama yang paling mudah dijumpai dan terlalu lekas mesra dengan orang yang berjumpa dengannya. Salah satu kebaikannya ialah orang yang meminta pertolongan daripadanya jika ada kemampuan padanya pasti beliau beri pertolongan.Jika beliau menyanggupi untuk memberi pertolongan, beliau akan mengurusnya sendiri hingga selesai walaupun beliau sendiri akan terkorban masa dan kewangannya sendiri. Beliau suka memberi pertolongan kepada orang bukanlah muncul dengan begitu saja, tetapi sekurang-kurangnya diwarisi daripada tiga orang, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Ahmad al- Fathani.

 
Dalam satu kes, Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Muhammad Nur al-Fathani pernah memberi pertolongan kepada orang lain secara serentak. Peristiwa yang dimaksudkan ialah kedua-duanya telah memberi banyak kemudahan kepada Haji Wan Muhammad (Mufti Perak) dan keluarganya sewaktu musim haji. Ketika itulah Syeikh Ahmad al-Fathani berwasiat kepada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani supaya kelakuan yang terpuji itu diterap dan diajarkan kepada murid dan terutama kepada keturunannya.

 
Selain itu, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani juga menerbitkan karya-karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan karya-karya Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani.

 
Penulisan

 
Sebagai seorang ulama besar yang bijak dalam penilaian ilmu, satu perkara yang berbeza antara Syeikh Muhammad Nur al-Fathani dengan ulama lain ialah beliau telah menulis tentang ilmu tradisional, fiqh Mazhab Syafie (Kaum Tua) dan beliau juga menulis tentang ilmu yang dibangsakan kepada Wahabi (Kaum Muda). Mengenai sumbangan ini, belum ada orang lain melakukannya. Sehingga artikel ini saya tulis, ia hanya dilakukan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Saya tidak menaruh jahat sangka terhadap beliau, tetapi saya yakin bahawa Syeikh Muhammad Nur al-Fathani sangat bijak dalam siasah. Tentu ada sasaran-sasaran tertentu yang belum dapat saya bicarakan dalam artikel yang singkat ini.

 
Karya perjalanan Kaum Muda telah mendahului karyanya pada perjalanan Kaum Tua. Karya tentang akidah Wahabiyah (Kaum Muda) tersebut adalah merupakan terjemahan bukan asli daripada pemikiran beliau. Terjemahan tersebut pula adalah atas titah perintah Raja Abdul Aziz, Raja Arab Saudi ketika itu. Kitab tersebut diberi judul al-Hadiyah as- Saniyah fi al-ï?1/2Aqidah as-Salafiyah yang diselesaikan pada hari Isnin, 3 Zulhijjah 1344
H/13 Jun 1926.

 
Pada akhir kitab itu terdapat kenyataan beliau, "Dan lagi pula kerana masa yang dapat disalinkan padanya itu terlampau sempit, iaitu dalam masa tiga puluh tiga hari jua, kerana Yang Maha Mulia Raja Abdul Aziz itu berkehendak kepada menaburkan lima rencana ini di seluruh    tanah    Melayu    dengan    cepat    dan    segera."    Walau    bagaimanapun,    Syeikh

 
 
Muhammad Nur al-Fathani memberi peringatan, "Maka besarlah harapan hamba daripada pembaca-pembaca yang arif bijaksana, dan segala pendeta-pendeta yang ia sudi membacakan segala rencana yang lima ini bahawa diperbaiki akan segala kesalahan faham fatwa kalam hamba itu, dengan bahawa ia menimbangkan kesalahan itu dengan neraca fikirannya yang adil...."

 
Kalimat yang bercorak merendah diri itu kemungkinan memberitahu bahawa apa yang beliau tulis itu bukanlah pegangannya tetapi ia terpaksa diterjemahkan juga kerana memenuhi perintah raja yang sedang berkuasa. Lebih kurang tujuh tahun kemudian barulah beliau tulis pegangan 'Kaum Tua', pegangan ayahnya, Syeikh Nik Mat Kecik al- Fathani, pegangan moyang saudaranya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain. Kitab tersebut ialah Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Mubtadi. Penulisan dimulai di Mekah dan diselesaikan di Madinah al-Munawwarah pada hari Jumaat, 9 Rabiul Akhir 1351
H/11 Ogos 1932