Raja Umar Hasan - Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah pertama

Raja Umar Hasan - Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah pertama

 
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 
BIOGRAFI Raja Ali Haji cukup banyak ditulis orang, yang diriwayatkan ini adalah salah seorang cucu ulama, pujangga, sejarawan Melayu yang sangat terkenal itu. Nama lengkap beliau ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan bin Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad bin Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah bin Upu Daeng Celak. Beliau adalah orang pertama yang berusaha menerbitkan karya-karya datuknya, Raja Ali Haji itu. Salah sebuah karangan Raja Ali Haji yang penting berjudul Kitab Pengetahuan Bahasa terbitan pertama oleh Mathba'ah Al- Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, juga atas usaha Raja Haji Umar.

 
Oleh sebab kekeluargaan ini termasuk penting dalam perkembangan kepelbagaian dunia
Melayu sejagat, maka sebelum menceritakan riwayat ringkas Raja Haji Umar bin Raja

 
 
Hasan bin Raja Ali Haji yang tersebut, dirasakan perlu terlebih dulu memperkenalkan adik beradik Raja Ali Haji dan putera/puteri beliau. Adik beradik Raja Ali Haji yang telah diketahui ada 16 orang, ialah 1. Raja Abdul Majid, 2. Raja Abdul Wadud, 3. Raja Haji Umar/Tengku Endut, 4. Raja Haji Ali, 5. Raja Abdullah (Amir Karimun), 6. Raja Utsman, 7. Raja Abdul Hamid, 8. Raja Muhammad Sa'id, 9. Raja Kecik, 10. Raja Shaliha, 11. Raja Fatimah, 12. Raja Aisyah, 13. Raja Shafiyah, 14. Raja Maimunah, 15. Raja Hawi, dan 16. Raja Maryam. Perkembangan keturunan nama-nama yang tersebut di atas belum dibicarakan di sini dan akan dibicarakan secara terperinci pada tempat dan waktu-waktu mendatang.

 
Putera/puteri Raja Ali Haji ada 17 orang, ialah: 1. Raja Haji Hasan (ayah kepada personaliti yang sedang diriwayatkan), 2. Raja Mala', 3. Raja Abdur Rahman, 4. Raja Abdul Majid, 5. Raja Salamah, 6. Raja Kaltsum, 7. Raja Ibrahim Kerumung, 8. Raja Hamidah, 9. Raja Engku Awan (ibu kepada Raja Kaluk), 10. Raja Khadijah, 11. Raja Mai, 12. Raja Cik,
13. Raja Muhammad Daeng Menambon, 14. Raja Aminah, 15. Raja Haji Salman Engku Bih, 16. Raja Siah, 17. Raja Engku Amdah. Perkembangan keturunan nama-nama yang tersebut di atas juga belum dibicarakan di sini, kecuali yang sedang diriwayatkan iaitu anak Raja Haji Hasan saja.

 
Selanjutnya adik beradik Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan bin Raja Ali Haji, ada 12 orang, mereka, ialah: 1. Raja Haji Abdullah Hakim 2. Raja Khalid Hitam, meninggal dunia di Jepun, 3. Raja Haji Abdul Muthallib, 4. Raja Mariyah, 5. Raja Manshur, 6. Raja Qamariyah, 7. Raja Haji Umar (yang sedang diriwayatkan), 8. Raja Haji Andi, 9. Raja Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah, 12. Raja `Amimah.

 
Raja Haji Umar yang dibicarakan dalam artikel ini adalah pada nombor 7 dalam senarai yang tersebut di atas. Raja Haji Umar dari sebelah ayahnya adalah cucu Raja Ali Haji, sedangkan dari sebelah ibunya adalah cucu Marhum Mursyid, iaitu Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-9. Raja Haji Hasan, ayahnya, adalah putera Raja Ali Haji. Ibunya pula ialah Raja Maimunah binti Marhum Mursyid. Raja Maimunah adalah adik beradik dengan Raja Haji Muhammad Tahir, Hakim Kerajaan Riau-Lingga yang telah diperkenalkan dalam Utusan Malaysia, Isnin yang baru lalu.

 
Riwayat pendidikannya ketika masih berada di Riau-Lingga, beliau mendapat pendidikan daripada golongan intelektual istana bersama adik beradiknya, di antaranya Raja Haji Abdullah yang kemudian menjadi hakim terakhir Kerajaan Riau-Lingga, Raja Khalid Hitam, pejuang Riau-Lingga, yang meninggal dunia di Jepun pada tahun 1912 M. Pelajarannya dilanjutkan ke Mekah. Sewaktu berada di Mekah sangat rapat hubungannya dengan dua orang anak Syeikh Ismail an-Naqsyabandi al-Khalidi Minangkabau, iaitu Syeikh Muhammad al-Minankabawi (wafat 1303 H) dan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al- Minankabawi (wafat 1313 H). Oleh sebab pelajar-pelajar golongan Kerabat Diraja Riau- Lingga di Mekah, termasuk Raja Haji Umar, adalah dalam pengurusan keluarga Syeikh Ismail Minangkabau pada waktu itulah mereka berhubung erat dengan Syeikh Tahir Jalaluddin, kerana Syeikh Tahir Jalaluddin adalah menantu Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail Minangkabau itu.

 
Raja Haji Umar tidak sempat belajar kepada Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail
Minangkabau, tetapi sempat belajar kepada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-

 
 
Minankabawi.    Walau    bagaimana    pun    diriwayatkan    Raja    Haji    Umar    dan    saudara- saudaranya selama berada di Mekah lebih banyak belajar kepada dua orang ulama yang berasal dari Patani,iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad al- Fathani. Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fathani mengirim Raja Haji Umar belajar ke Mesir.

 
Di antara sahabat Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan sewaktu belajar di Mekah ialah Haji Wan Ismail bin Syeikh Abdullah al-Fathani, iaitu anak saudara Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani. Kedua-dua ulama Riau dan Patani itu akhirnya berbiras, kerana kedua- dua isteri mereka adalah adik beradik. Kedua-duanya berjuang menyebarkan ilmu melalui Mathbaah Al-Ahmadiah Singapura.

 
Aktiviti dimulai dengan perlantikannya sebagai Mudir atau istilah lain digunakan juga Manager Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura yang pertama. Syarikat tersebut diasaskan oleh beberapa orang Kerabat Diraja Riau, syarikat induknya berpusat di Pulau Midai, Pulau Tujuh, Kepulauan Riau dengan nama Syarkah Al-Ahmadi & Co. Midai (1324 H/1906 M). Raja Haji Umar dilantik dalam syarikat itu adalah atas kehendak saudara sepupunya Raja Ali (Tengku Selat) bin Raja Muhammad Tengku Nong dan pengasas syarikat itu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar/Tengku Endut.

 
Sebelum melanjutkan aktiviti Raja Haji Umar yang lain, di sini perlu juga disentuh status kepimpinan Ahmadiah ketika itu ialah di pusatnya di Pulau Midai digunakan istilah Wakil Kuasa Ahmadi & Co. Midai ialah Raja Kaluk. Beliau juga cucu Raja Ali Haji, ibunya bernama Engku Awan adalah anak perempuan Raja Ali Haji.Dalam masa yang sama terdapat dua orang Wakil Kuasa, yang seorang lagi ialah Raja Hasnan. Setelah kedua- duanya meninggal dunia digunakan istilah Kuasa Al-Ahmadi & Co. Midai, dipegang oleh Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman. Untuk di Cawangan Singapura digunakan istilah Mudir atau Manager. Mudir atau Manager yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah Cawangan Singapura ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan. Untuk pengurusan di Mekah al-Mukarramah digunakan istilah Wakil Al-Ahmadiah di Mekah ditangani oleh Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (berasal dari Pulau Pinang). Raja Ali/Tengku Selat adalah Ketua Syarkah Al-Ahmadi & Co. Midai dan Mathba'ah Al- Ahmadiah Cawangan Singapura, merupakan pimpinan yang tertinggi daripada Keluarga Diraja Riau itu, dalam bidang usaha niaga mulai Pulau Tujuh hingga Singapura ketika itu.

 
Atas usaha Raja Haji Umar itulah maka karangan-karangan yang berasal daripada keluarga Diraja Riau-Lingga dikumpulkan dan diterbitkan oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah yang mendapat restu daripada Raja Ali (Tengku Selat) dan Raja Haji Ahmad. Daripada semua yang telah dipaparkan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan adalah seorang ulama yang mahir dalam penyusunan pentadbiran kewiraswastaan usaha niaga yang bercorak Islam. Sekali gus beliau seorang tokoh yang pandai menilai sesuatu penulisan, pemikiran, sejarah dan khazanah yang dipandang perlu diselamatkan.

 
Selain aktif mengumpul dan menyelamatkan khazanah pemikiran kekeluargaan Riau- Lingga, Raja Haji Umar juga melibatkan diri dalam penulisan, di antaranya Jurnal Keluarga Riau (tidak sempat diterbitkan) yang mengandungi di antaranya perjalanan kewafatan Raja Badariyah binti Raja Haji Muhammad Tahir saudara sepupunya. Karyanya yang lain ialah Ibu Di dalam Rumah Tangganya. Dalam Natijah Al-Ahmadiah terbitan 1341 H/1922-

 
 
1923 M Raja Haji Umar telah memuat salinan ilmu falakiyah karangan sahabatnya Syeikh
Muhammad Tahir Jalaluddin.

 
Raja Haji Umar meninggal dunia berdasarkan catatan Raja Ali (Tengku Selat) tertulis,
``Dan pada 27 Rabiulawal 1347 bertepatan 12 September 1928 siang Arba' (Rabu, pen) pukul dua, lewat lima belas minit, waktu itulah berlaku kudrat Allah Taala atas Raja Haji Umar    bin    al-Marhum    Raja    Haji    Hasan    Riau    kembali    ke    rahmatullah.    Dikuburkan berhampiran dengan kubur Marhumah Raja Badariyah, Perkuburan Qasim Keling, Batu Enam Sigelap ...''

 
Raja Haji Umar bin Raja Hasan meninggalkan lima orang anak, ialah: Raja Muhammad Saleh, Raja Muhammad Shafik, Raja Muhsin, Raja Salamah (semuanya daripada satu ibu). Daripada isterinya yang bernama Raja Hajah Malihah binti Raja Haji Muhammad memperoleh seorang anak, ialah Raja Abdul Aziz al-Mursyidi.

 
Raja Muhammad Saleh adalah anak beliau yang tua yang bekerja di Al-Ahmadiah Press sejak masa jayanya hingga ke masa menurunnya perusahaan itu. Penulis mempunyai hubungan dekat dengan keluarga ini, oleh itu pertama kali sampai di Singapura pada tahun 1967 penulis menginap di rumahnya, di Lorong Engku Kadir, Kaki Bukit, Singapura. Pada waktu itu Al-Ahmadiah Press masih berjalan dengan lancar. Raja Muhammad Shafik bin Raja Haji Umar pernah berkhidmat kepada Pustaka Nasional Singapura.

 
Darah pengarang Raja Ali Haji turun kepada cucunya Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan dilanjutkan oleh Raja Abdul Aziz al-Mursyidi. Aziz al-Mursyidi mendapat pendidikan jurusan sastera Arab di Universiti al-Azhar. Artikel-artikelnya banyak dimuat dalam beberapa majalah terutama majalah Qalam. Sewaktu pertama sampai

 
di Kuala Lumpur (1970) penulis menginap di rumahnya, di Jalan Intan, Gombak, penulis menggunakan kesempatan menanyakan beberapa kalimat sastera Arab kepada beliau, bererti penulis sebagai murid beliau. Pada waktu itu beliau jugaselaku penterjemah daripada bahasa Arab ke Melayu dan sebaliknya di radio dan televisyen Malaysia. Pertemuan terakhir antara beliau dengan penulis tahun 1978, dalam keadaan sakit dan selanjutnya meninggal dunia di Singapura, tanpa meninggalkan keturunan.

 
Sebagai penutup, ``Kukhayalkan secebis kisah Aziz Mursyidi kelahiran Singapura, pernah tinggal di pulau kecil, terpencil, Pulau Midai. Menumpang tongkang berangkat ke Terengganu, ke Singapura terus ke Mekah dan Mesir mencari ilmu. Raja Ali Haji adalah moyangnya, dia adalah pewaris pujangga, dia dilupakan orang, namun padaku ada catatan.''

 
waqaf.net >> Siri Ulama Nusantara >> Tuan Minal al-Fathani - Karangannya rujukan ulama Melayu

 
Tuan Minal al-Fathani - Karangannya rujukan ulama Melayu

 
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 
 
MERUJUK kepada judul di atas, ulama yang menjalankan aktiviti terakhirnya di Sungai Dua, Seberang Perai ini terkenal di seluruh dunia Melayu sekurang-kurangnya kerana dua buah karyanya, ialah Kasyaful Litsam dan Aqidatun Najin. Terdahulu daripada ini, mengenai beliau pernah saya tulis dalam Jurnal Dewan Bahasa, Februari 1991 dan majalah Dakwah. Kerana banyak penemuan terkini maka dirasakan perlu ditulis kembali. Tuan Minal adalah gelarannya. Nama lengkapnya ialah Syeikh Wan Zainal Abidin bin Wan Muhammad al-Fathani bin Wan Muhammad Dahan bin Wan Syamsuddin bin Wan Ja'far bin Wan Husein bin Ali. Pertikaian pendapat, salasilah yang lain menyebut Wan Muhammad Dahan Syeikh Wan Muhammad Muhyiddin bin Syeikh Yahya bin Syeikh Ibrahim Hadhrami.

 
PENDIDIKAN

 
Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani diceritakan asal usulnya dari Kampung Anak Ru Patani, mendapat pendidikan dimulai daripada orang tuanya di kampung halaman sendiri. Pernah memasuki Pondok Bendang Daya Patani dan sempat berguru kepada pengasas pertamanya,    iaitu    Syeikh    Haji    Wan    Mustafa    bin    Muhammad    al-Fathani.    Sahabat- sahabatnya di antaranya Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (ayah Syeikh Ahmad al- Fathani), Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya ke-2), Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Jamaluddin Negeri Sembilan, Haji Abdus Samad Kelumbung dan ramai lagi.

 
Belajar

 
Guru beliau yang lain ialah Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani, iaitu Abdur Rasyid Keramat Pulau Bidan. Di dalam kitab Miftah ash-Shibyan oleh Syeikh Muhammad Nuruddin bin Syeikh Abbas al-Khalidi, Batu Bahara, Pasir Dahari, Inderapura, diriwayatkan bahawa Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani belajar ilmu usuluddin kepada Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi (Kedah). Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari al-Qad-hi mempelajari ilmu yang sama daripada Syeikh Ali al-Qad-hi (Kedah). Sanad beliau sampai kepada dua imam besar Ahlus Sunnah wal Jama'ah, iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

 
Untuk membolehkan Syeikh Zainal Abidin al-Fathani diakui sebagai seorang ulama besar dan digelar dengan Al-'Alim al-Allamah al- Mudaqqiq al-Fahamah Sirajuddin adalah beliau mendapat pendidikan terakhir ialah di Mekah. Di antara gurunya di Mekah termasuk Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

 
KEPERIBADIAN

 
Gelaran keilmuan yang diperolehnya ialah Al-'Alim al-'Allamah al- Mudaqqiq al-Fahamah Sirajuddin. Sirajuddin yang bererti `Lampu Agama' adalah tidak diragukan. Kalau Kasyful Litsam merupakan karya beliau yang terbesar bahkan merupakan kitab fikah yang membicarakan furuk-furuk fikah yang paling lengkap dalam bahasa Melayu, maka daripada bidang usuluddin pula karya beliau, `Aqidatun Najin merupakan yang kedua besar sesudah Warduz Zawahir karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Selain digelar dengan Sirajuddin, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani digelar juga dengan al- Alim atau lebih tinggi daripada sebutan itu ditambah lagi dengan gelar al-'Allamah.

 
 
Ditambah lagi dengan `al-Mudaqqiq', yang bermaksud seorang yang sangat teliti. Ditambah lagi dengan `al-Fahamah', yang bermaksud mempunyai kefahaman tentang keIslaman terutama dalam fikah.

 
Digelar pula dengan Tuan Minal. Ada sebab maka beliau digelar Tuan Minal, ada beberapa orang penulis menyebut ia berasal daripada singkatan nama beliau Zainal. Pendapat ini jauh daripada kesahihan, kerana hampir semua Tok Guru pondok di Patani yang pernah penulis temui di sekitar tahun 1970an meriwayatkan lain. Tuan Minal berasal daripada serangkaian peristiwa yang pernah berlaku kepada beliau iaitu apabila beliau merasa marah dan gusar kepada murid-muridnya, beliau sering membaca surah An-Nas. Apabila sampai kepada ayat ``Minal jinnati wan nas'' beliau mengeraskan tekanan suaranya. Semakin kuat perasaan marah menyerang perasaannya beliau lebih keras menekan suaranya apabila sampai kepada ayat itu. Walau bagaimanapun marahnya hanyalah diketahui dengan kelakuan demikian, sedangkan air mukanya tetap menampakkan kelembutan dan ramah tamah seolah-olah beliau tidak marah.

 
Beliau adalah seorang ulama yang tidak pernah bermasam muka atau memperlihatkan gejolak emosi tinggi yang tidak terkawal. Hal ini adalah suatu corak yang mencerminkan bahawa Syeikh Zainal Abidin al-Fathani seorang ulama yang mendalami pengetahuan tasawuf serta mempraktikkannya sekali.

 
AKTIVITI

 
Setelah pulang dari Mekah, Syeikh Zainal Abidin al-Fathani terus mengasaskan sebuah pusat pengajian sistem pondok di suatu kampung dalam negeri Patani. Ada orang meriwayatkan pondok pengajian yang diasaskannya terletak di Bendang Badang, Patani. Setelah pondok yang diasaskannya kukuh, beliau berhijrah ke Sungai Dua, Seberang Perai dan menangani pondok pengajian yang diasaskan oleh Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' al-Kalantani.

 
Berhijrah

 
Ada orang meriwayatkan bahawa beliau mulai membuka pondok pengajian di Sungai Dua, Seberang Perai pada tahun 1292 H/1875 M. Penulis ragu dengan tahun 1292 H/1875 M tersebut kerana tahun 1304 H/1887 M Syeikh Zainal Abidin al-Fathani masih berada di Patani dan belum berhijrah ke Sungai Dua, Seberang Perai.

 
Walau bagaimanapun penulis yakin bahawa beliau berhijrah ke Sungai Dua, Seberang Perai sebelum tahun 1900 M lagi. Ataupun barangkali kedua-dua pengajian pondok di Patani dan di Sungai Dua, Seberang Perai itu dibuka secara serentak dalam tahun yang sama. Kemungkinan Syeikh Zainal Abidin al-Fathani berulang alik mengajar di kedua-dua pengajian itu. Atau pun kemungkinan sewaktu beliau kembali ke Patani pengajian pondok yang terletak di Sungai Dua, Seberang Perai itu ditangani oleh sahabatnya, Haji Abdus Samad Kelumbung al-Fathani. Beliau ini berasal dari Paya Bemban Jeringo, Teluk Manuk, dalam Wilayah Menara. Syeikh Zainal Abidin al-Fathani dan Haji Abdus Samad Kelumbung kedua-duanya meninggal dunia di Sungai Dua, Seberang Perai. Tahun wafat kedua- duanya masih belum diketahui dengan pasti.

 
 
PENULISAN

 
Jika kita teliti semua karya Tuan Minal memang banyak terdapat perkara-perkara yang penting sama ada bersumber dari al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias dengan penafsiran-penafsiran dan perbandingan-perbandingan mahu pun berupa pendapat beliau yang disimpulkan daripada pengetahuan beliau yang luas dan pembacaannya yang banyak. Karya-karya Tuan Minal ialah:

 
1. Kasyful Ghaibiyah fi Ahwali Yaumil Qiyamah, 1301 H/1883M. Kandungannya membicarakan mulai kejadian alam seluruhnya, tanda-tanda kiamat dan peristiwa dahsyat kejadian Hari Kiamat. Cetakan pertama Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1302 H. Ditashhih dan diusahakan penerbitannya oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Cetakan Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah `Utsmaniyah, Mekah, 1332
H/1913 M, diusahakan oleh anak beliau, Syeikh Muhammad Saleh al-Fathani dengan tashhih Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
2. Kasyful Litsam `an As-ilatil Anam, diselesaikan pada tahun 1307 H/1889 M. Kitab ini dijadikan penonjolan nama Tuan Minal seperti tersebut pada judul artikel ini. Tentangnya sudah cukup jelas dimuat dalam Jurnal Dewan Bahasa, Februari 1991.
3. `Aqidatun Najin fi `Ilmi Ushuliddin diselesaikan pada hari Sabtu, Jamadilakhir tahun
1308 H/1890 M. Kitab ini bukan hanya setakat untuk rujukan tetapi masih banyak diajar di surau-surau dan di masjid-masjid bahkan di beberapa pondok di seluruh dunia Melayu. Sebagaimana telah tersebut bahawa kitab ini yang kedua besar tentang akidah dalam bahasa Melayu sesudah Warduz Zawahir karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetapi adalah yang pertama besar yang masih beredar di pasaran dan yang diajarkan. Cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1319 H/1901 M, ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
4. Irsyadul `Ibad ila Sabilil Rasyad, tanpa tarikh. Pernah dicetak dalam beberapa edisi, iaitu Matba'ah al-Miriyah, Mekah, Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutubal `Arabiyah, Mesir, Matba'ah Al-Ahmadiyah, Singapura, Persama Press, Pulau Pinang dan lain-lain.
5. Tabassumusy    Syaribin,    dicetak    oleh    Al-Ahmadiyah    Press,    Singapura    yang dikombinasikan dengan cetakan Irsyadul `Ibad.
6. Miftahul Murid fi `Ilmit Tauhid, tanpa tarikh, cetakan pertama Mathba'ah at- Taraqqil Majidiyah, Makkah 1330 H. Cetakan pertama Pulau Pinang, 1373H/1954M. Kitab ini dicetak kombinasi dengan karya anak beliau, Syeikh Umar, judulnya Risalah Pada Menyata- kan Sebab Jadi Murtad.
7. Sembahyang Jumaat, nombor kelas MS 111, Koleksi Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia. Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat. Belum pernah diterbitkan.
8. Tahqiqul Kalam fi Bayani Ibtidais Shiyam, nombor kelas MS 112, Koleksi Pusat
Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia. Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat. Belum pernah diterbitkan.

 
PENYAMBUNG AKTIVITI

 
Semua anak Tuan Minal sempat menerima pendidikan langsung daripada Tuan Minal sendiri, sama ada menetap di Pondok Patani mahupun di Pondok Sungai Dua, Seberang Perai. Mereka merupakan ka-der-kader pendidik dan pendakwah langsung daripada ayahnya sendiri. Ada pun anak-anak Tuan Minal adalah sebagai yang berikut di bawah:

 
 
1. Al-'Alim al-'Allamah Haji Daud.
2. Al-'Alim al-'Allamah Haji `Abdul Qadir.
3. Al-'Alim al-'Allamah Haji Muhammad Saleh.
4. Al-'Alim al-'Allamah Haji Umar.
5. Al-'Alim al-'Allamah Haji Hasan.
6. Hajah Fatmah.

 
Empat orang anak Tuan Minal yang tersebut di atas adalah ulama, tiga orang di antara mereka menghasilkan karangan. Syeikh Muhammad Saleh karyanya berjudul Risalah Yang Kecil Pada Bicarakan Ilmu Tajwid Al-Quran dan Sirajul Qari. Haji Umar, karya beliau ialah Risalah Pada Menyatakan Sebab Jadi Murtad. Karya Haji Hasan bin Tuan Minal yang telah diketahui ialah Pungutan Kanak-Kanak.

 
Keturunan Tuan Minal ramai di Malaysia, Patani dan Mekah. Haji Abdul Qadir pernah berkahwin dengan anak seorang hartawan Muar yang bernama Shafiyah @ Mik Muar. Memperoleh tujuh orang anak. Ramai keturunannya di Patani dan Kelantan, walau bagaimana pun keluarga di Muar terputus kerana tidak terdapat alamat yang jelas. Haji Abdul Qadir adalah ayah Haji Sulung, ulama dan pejuang Patani yang sangat terkenal, tetapi ibunya bukan Mik Muar. Shafiyah @ Mik Muar itu adalah ibu tiri kepada Haji Sulung.