Haji Rasul Amrullah tokoh tajdid Nusantara

Haji Rasul Amrullah tokoh tajdid Nusantara

 
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 
 
PADA bulan Januari 2006 genap dua tahun tulisan saya tentang ulama dunia Melayu disiarkan dalam ruangan agama Utusan Malaysia.Artikel pertama disiarkan pada Khamis
19 Februari 2004. Sehingga hari ini jumlah ulama yang telah diperkenalkan ialah seramai
95 orang. Hingga terbitan hari ini hanya tiga orang ulama Kaum Muda atau Tajdid diperkenalkan.

 
Dua tokoh tajdid (pembaharuan) yang diperkenalkan sebelum ini ialah Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al-Hadi. Tujuan saya memperkenalkan tokoh-tokoh Kaum Tua dan Kaum Muda bukan bererti memperlihatkan diri berpihak, tetapi lebih kepada memaparkan sejarah.

 
Ulama yang diperkenalkan kali ini nama asalnya ialah Muhammad Rasul. Namanya nama yang terkenal ialah Dr. Syeikh Abdul Karim bin Amrullah. Beliau lahir pada hari Ahad, 17
Safar 1296 H/10 Februari 1879 M di Kepala Kebun, Betung Panjang, Negeri Sungai
Batang, Manjinjau, Dalam Luhak Agam, Minangkabau, Sumatera Barat.

 
Pendidikan

 
Sejak berumur tujuh tahun, ayah dan ibunya telah memerintahkan beliau mendirikan sembahyang dan puasa pada bulan Ramadan. Selanjutnya pada usia 10 tahun, ayah saudaranya, Haji Abdus Samad membawanya ke Sibalantai, Tarusan, Painan belajar al- Quran daripada Tuanku Haji Hud dan Tuanku Pakih Samnun. Buya Hamka menyebut bahawa setahun kemudian beliau pulang ke Sungai Batang, lalu diajarkannya menulis Arab (maksudnya tulisan Melayu/Jawi, pen:) daripada Adam anak Tuanku Said.

 
Pada usia 13 tahun beliau mulai belajar ilmu nahu dan saraf daripada ayahnya, Syeikh Amrullah. Ayahnya menghantarnya belajar ke Sungai Rotan, Pariaman, menuntut ilmu daripada Tuanku Sutan Muhammad Yusuf. Kemudian Syeikh Amrullah sendiri membawa anaknya Muhammad Rasul itu ke Mekah untuk mendalami pengetahuannya dengan ulama-ulama Mekah pada zaman itu. Ketika belajar di sana, usia Muhammad Rasul sekitar lingkungan 16 ke 17 tahun iaitu pada tahun 1312 H/1894 Masihi.

 
Buya Hamka dalam buku Ayahku menyebut nama guru-guru Haji Rasul ialah Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau, Syeikh Abdullah Jamidin, Syeikh Utsman Sarawak, Syeikh Umar Ba Junaid, Syeikh Saleh Ba Fadhal, Syeikh Hamid Jeddah dan Syeikh Sa'id Yaman.

 
Tulis Buya Hamka selanjutnya, "Dan pernah juga belajar kepada Syeikh Yusuf Nabhani, pengarang kitab Al-Anwarul Muhammadiyah. Syeikh ini jadi terkenal kerana dia benci kepada Syeikh Muhammad Abduh! (Karangan-karangannya itu besar pengaruhnya di kalangan ulama-ulama tua di Indonesia, sehingga payah menghapuskannya)." (Lihat Ayahku, hlm. 59.)

 
Daripada sumber Buya Hamka di atas, hanya dua orang ulama yang berasal dari dunia Melayu menajdi guru ayah beliau Haji Rasul Amrullah di Mekah iaitu Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Utsman Sarawak. Tetapi yang saya kumpulkan daripada pelbagai sumber, Haji Rasul Amrullah Minangkabau juga belajar daripada ulama-ulama Melayu yang terkenal di Mekah ketika itu, di antara mereka ialah Syeikh Muhammad Ismail al- Fathani, Syeikh Wan Ali al-Kalantani dan Syeikh Ahmad al-Fathani.

 
 
Tulisan Buya Hamka yang menyebut bahawa ayah beliau "pernah juga belajar daripada Syeikh Yusuf Nabhani", bagi saya, masih belum jelas kerana Syeikh Yusuf Nabhani itu adalah ulama di Beirut. Saya belum menemui riwayat bahawa Syeikh Yusuf Nabhani pernah mengajar di Mekah. Kemungkinan juga Haji Rasul Amrullah pernah mendatangi dan belajar daripada Syeikh Yusuf Nabhani di Beirut. Tidak terdapat keterangan lanjut baik daripada Buya Hamka mahupun dalam tulisan orang lainnya.

 
Memperhatikan tahun kelahiran Haji Rasul Amrullah (1296 H/1879 M), tahun beliau belajar di Mekah ialah antara tahun 1312 H/1894 M hingga musim haji tahun 1323
H/Januari/Februari 1906 M dan beliau pulang ke Minangkabau pada Muharam 1324
H/Februari/Mac 1906 M. Daripada tarikh itu maka dapatlah kita bandingkan dengan beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang agak berdekatan tahun kelahiran dan sempat belajar dengan guru-guru yang sama di Mekah. Mereka ialah Syeikh Muhammad Sa`id Linggi (lahir 1292 H/1875 M), Kadi Haji Abu Bakar Hasan Muar, Johor (lahir 1292 H/1875), Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani (lahir 1293 H/1876 M), Syeikh Abdul Hamid Mahmud Talu, Minangkabau (lahir 1298 H/1880 M) dan masih ramai lagi.

 
Mereka adalah golongan Kaum Tua, kecuali Haji Rasul Amrullah yang diriwayatkan ini saja dalam golongan Kaum Muda. Sebenarnya jika disimpulkan, kitab-kitab yang dipelajari Haji Rasul Amrullah daripada semua gurunya adalah kitab-kitab Kaum Tua juga, seperti kitab Fat-h al-Mu'in, Tafsir Jalalain dan lain-lain. Saya belum menjumpai riwayat bahawa beliau pernah belajar kepada tokoh Kaum Muda, kecuali beliau hanya belajar daripada Syeikh Tahir Jalaluddin. Lain halnya dengan Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Muhammad Nur al- Fathani, dan Syeikh Basiyuni Imran (Maharaja Imam Sambas) yang ketiga-tiganya adalah murid Syeikh Muhammad Abduh dan Saiyid Rasyid Ridha di Mesir.

 
Jadi pengetahuan    Haji Rasul Amrullah    adalah    berdasarkan    pembacaan        kitab-kitab karangan Ibnu Taimiyah, Ibnu Qaiyim, Syeikh Muhammad Abdul Wahhah dan terakhir sekali ialah karangan Syeikh Muhammad Abduh dan karangan Saiyid Rasyid Ridha terutama Tafsir al-Manar. Riwayatnya menunjukkan beliau tidak belajar daripada ulama Kaum Muda, tetapi kepada ulama Kaum Tua, belajar kitab-kitab Kaum Tua, namun akhirnya    hanya    melalui    pembacaan    menjadi    tokoh    Kaum Muda    yang    dapat    kita bandingkan dengan Mufti Haji Wan Musa Kelantan.

 
Mengenai sambutan kepulangan Haji Rasul ke negerinya, Buya Hamka menulis, "Belum lama di rumah, orang dalam negeri, termasuk Laras sendiri mengadakan peralatan melantik Syeikh Amrullah bergelar "Tuanku Nan Tuo" dan Haji Rasul diberi gelar "Tuanku Nan Mudo". Meraikannya disembelih beberapa ekor kerbau dan dipanggil tuanku-tuanku dari keliling danau untuk turut menyaksikan." (Lihat Ayahku, hlm. 61.)

 
Kegembiraan Tuan Kisa-i (Syeikh Amrullah) atas kepulangan anak beliau Haji Rasul yang membawa ilmu tiada dapat kita bayangkan, tetapi kegembiraan itu rupa-rupanya bertukar menjadi sebaliknya kerana jalan pemikiran dalam pegangan Islam antara ayah dengan anak sangat jauh berbeza.

 
Dari segi ini Buya Hamka mencerminkan kejujuran beliau menulis tentang ayah dan datuknya itu. Kata beliau, "Kedatangan di kampung disambut dengan gembira oleh ayahnya dan orang kampung, baik kalangan lebai-lebai atau kalangan ninik-mamak.

 
 
Tetapi kegembiraan itu akhirnya akan kecewa juga ... Syeikh Ahmad Khatib juga seorang sufi, tetapi beliau tidak menyetujui cara tarekat yang memakai kaifiat-kaifiat yang bidaah- bidaah itu. Padahal Syeikh Amrullah sendiri adalah Syeikh Thariqat Naqsyabandi." (lihat Ayahku, hlm. 61.)

 
Kita tidak dapat menggambarkan bagaimana pergolakan dalaman antara ayah dengan anak    yang    terjadi    sebenarnya,    kerana    belum    terdapat    tulisan    orang    lain    yang membicarakan perkara itu. Saya kagum terhadap Buya Hamka. Dia seorang yang sangat bijaksana, beliau cukup faham ada perkara yang perlu diketahui oleh umum untuk dijadikan iktibar dan ada pula yang tidak perlu disebarkan kepada umum.

 
Buya Hamka cukup beradab dan berbudi bahasa untuk menceritakan sesuatu yang menyentuh darah dan daging beliau sendiri. Tentang Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menganggap "memakai kaifiat-kaifiat yang bidaah-bidaah" adalah bidaah yang disebut oleh Buya Hamka itu. Ia sebenarnya telah ditentang oleh beberapa orang ulama yang berasal dari Minangkabau sendiri. Di antara yang dipandang paling hebat ialah Syeikh Muhammad Sa`ad Mungka.

 
Bahkan    sangat    ramai    murid    Syeikh    Ahmad    Khatib    Minangkabau    tetap    istiqamah mengamalkan tarekat di antaranya ialah Syeikh Khathib Ali bin Abdul Muthalib al-Khalidi an-Naqsyabandi, penyusun kitab Miftah ad-Din, termasuk Syeikh Sulaiman ar-Rasuli, murid Syeikh Ahmad Khatib juga mengamalkan tarekat.

 
Buya Hamka membahagikan karangan ayahnya kepada beberapa jenis. Yang ditulis pada peringkat awal mulai tahun 1908 M hingga tahun 1923 M, jumlahnya ada 15 judul. Yang dikarang setelah beliau mengikut Kongres Islam di Mesir ditulis mulai tahun 1928 M hingga tahun 1943 M, ada 11 judul. Namun ada dua judul terakhir tidak terdapat tahun penulisan. Buya Hamka menulis, "Karangan-karangannya itulah yang menjadi "soal besar" dan "membuat ribut" dalam zamannya."

 
Pada waktu itulah keluar kefahamannya yang ganjil-ganjil dan "moden" sehingga beliau dicap Kaum Muda dan menggoncangkan masyarakat Minang 30 tahun yang lalu." (30 tahun yang lalu dihitung ketika Buya Hamka menulis buku tersebut, iaitu tahun 1950. Tetapi hingga sekarang bererti sudah lebih 80 tahun, pen:). Buya Hamka menulis selanjutnya,"Sehingga buku-buku itu dilarang dibaca dalam kerajaan Melayu: Johor, Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu, Perlis, Selangor, dan Negeri Sembilan. Sebab menyebarkan bibit Kaum Muda!" (Lihat Ayahku, hlm. 222.) Saya belum mengetahui sampai di mana benarnya tulisan Buya Hamka itu kerana beliau masukkan Perlis juga melarang karangan-karangan ayah beliau, sedangkan negeri Perlis sendiri dikatakan orang adalah satu-satunya negeri Kaum Muda di Semenanjung Melayu.

 
Kemungkinan di Minangkabau telah hangat pertikaian antara Kaum Tua dan Kaum Muda tetapi di Perlis ketika itu para ulamanya masih berpegang dengan fahaman Kaum Tua.

 
Dalam simpanan saya terdapat beberapa bukti bahawa Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau marah kepada muridnya Haji Rasul Amrullah. Sewaktu terjadi polemik antara Haji Rasul Amrullah dengan Syeikh Hasan Maksum, Medan, tentang "Ushalli", Syeikh Ahmad Khatib

 
 
Minangkabau menulis sepucuk surat berpihak kepada muridnya Syeikh Hasan Maksum
(Kaum Tua) dan menolak fahaman Haji Rasul Amrullah.

 
Sewaktu Syeikh Saad Mungka dalam perkara yang sama (Ushalli) menyalahkan Haji Rasul Amrullah, ada orang melaporkan kepada Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau di Mekah. Ternyata Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau tidak menyokong Haji Rasul Amrullah. Pada konteks ini Buya Hamka menulis, "Maka datanglah balasan dari Mekah! Syeikh Ahmad Khatib rupanya agak marah kepada ayahku, mengapa soal itu dibuka. Lalu beliau menguatkan lebih baik juga Ushalli dipakai. Demi menerima serangan daripada Syeikh Saad Mungka dan penyesalan daripada gurunya yang sangat dihormatinya, bertambah tersinggunglah perasaannya."

 
Serangan Syeikh Saad Mungka tambah mendorongnya buat mempersiap diri, dan penyesalan gurunya menambahkan ragunya, mengapa maka gurunya yang mendidiknya selama ini bebas berfikir telah menghambat kebebasan berfikir itu. Jawabnya kepada gurunya sangat hormat." (Lihat Ayahku, hlm. 280.)

 
Kebebasan

 
Mengenai kebebasan berfikir perlulah dibimbing daripada wahyu Allah, hadis Nabi s.a.w. ijmak, dan kias serta etika dalam menyebarkannya. Tidak semestinya kita berpendapat bahawa pemikiran kita saja yang benar, kerana sangat ramai orang selain kita juga berfikir. Apabila terjadi pertikaian pendapat yang bertentangan antara dua golongan, saya berpendapat, terdapat tiga rumusan.

 
Pertama: masih dalam kemungkinan yang satu adalah betul dan yang satu lagi adalah salah. Kedua: yang sudah pasti, tidak mungkin kedua-duanya adalah betul. Ketiga: masih ada kemungkinan kedua-duanya adalah salah.

 
waqaf.net >> Siri Ulama Nusantara >> Fakhruddin al-Falimbani - Ulama Kesultanan
Palembang Darus Salam

 
Fakhruddin al-Falimbani - Ulama Kesultanan Palembang Darus Salam

 
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 
FAKTA untuk menjejaki ulama yang berasal dari Palembang ini ialah sebuah manuskrip karya beliau yang selesai ditulis pada 16 Syaaban 1297 H/24 Julai 1880 M, selanjutnya disebut MS 1731 (PMM-PNM). Tarikh tersebut saya jadikan bukti bahawa saya tidak sependapat dengan beberapa pendapat yang menyebut bahawa usia Kemas Fakhruddin lebih tua daripada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

 
Menurut penyelidikan saya, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani lebih dulu menghasilkan karya, iaitu, Zahrah al-Murid tahun 1178 H/1764 M dan Risalah Nikah tahun 1179 H/1764
M. Pada hari Ahad, 8 Rabiulawal 1421 H/11 Jun 2000 M, sewaktu saya ke Ranai, Pulau Natuna/Bunguran Timur saya peroleh sebuah karya besar Kemas Fakhruddin berjudul Futuh asy-Syam, jilid pertama.

 
 
Kitab Futuh asy-Syam tersebut dicetak dengan huruf batu (litografi) milik Datuk Kaya Wan Husein, Datuk Kaya Bunguran/Natuna di Ranai. Kitab tersebut diserahkan kepada saya oleh cucunya, Urai Nurseha binti Urai Utsman di rumahnya di Ranai pada hari dan tarikh seperti tersebut di atas. Oleh sebab kitab tersebut hanya dijumpai jilid pertama, maka belum diketahui tahun selesai penulisan dan nama tempat mencetak juga tidak jelas.

 
PERBANDINGAN TAHUN

 
Berdasarkan informasi, manuskrip Futuh asy-Syam yang lengkap dapat dikesan tersimpan di School of Oriental and African Studies (Universiti London) dengan nombor kelas MS
11505. Sebagaimana telah saya sebutkan bahawa Futuh asy-Syam cetakan huruf batu (litografi) yang dijumpai di Pulau Natuna belum diketahui tarikhnya. Namun, kerana dapat dikesan manuskripnya yang bernombor kelas MS 11505 ada dinyatakan tarikh, iaitu diselesaikan pada hari Jumaat, bulan Safar 1183 H/Jun 1769 M, maka dirasakan perlu membuat analisis perbandingan.

 
Di atas telah saya sebutkan sebuah naskhah MS 1731 (PMM-PNM) karya Syeikh Kemas Fakhruddin yang diselesaikan pada 16 Syaaban 1297 H/24 Julai 1880 M. Memperhatikan jarak tahun pengkaryaan antara tahun 1183 H dengan 1297 H yang bererti sekitar 114 tahun, bererti ulama yang berasal dari Palembang tersebut berusia sangat panjang. Atau kemungkinan terjadi kekeliruan penulisan tahun yang diberikan. Atau kemungkinan terdapat dua orang ulama bernama Kemas Fakhruddin di Palembang.

 
Jika kita dapat menerima tahun yang diberikan oleh Dr. Aryumardi Azra bahawa Syeikh Fakhruddin hidup antara tahun 1133 H/1719 M - 1177 H/1763 M, ini bererti Syeikh Fakhruddin hanya berusia 44 tahun. Dengan perbandingan ini bererti bertambah sukar mencari data yang tepat tentang Syeikh Kemas Fakhruddin. Dengan diperoleh tahun penulisan Futuh asy-Syam, 1183 H/1769 M, ternyata juga ia tidak lebih dahulu daripada kedua-dua karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Zahrah al-Murid tahun 1178 H/1764
M dan Risalah Nikah tahun 1179 H/1764 M. Daripada pelbagai informasi ada diriwayatkan bahawa    karya-karya    Syeikh    Kemas    Fakhruddin    dihasilkan    atas    permintaan    Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo (1171 H/1758 M-1190 H/1776 M).

 
Penulisan

 
Jika kita perhatikan tahun penulisan Futuh asy-Syam, 1183 H/1769 M, bererti memang dalam masa pemerintahan Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo, tetapi di Futuh asy-Syam MS 11505 terdapat catatan bahawa ``atas kehendak Pangeran Ratu ibni Paduka Seri Sultan Ahmad Najamuddin Kerajaan Palembang Darul Ihsan''. Ini sangat meragukan kerana dalam pemerintahan Palembang terdapat lagi nama Sultan Ahmad Najamuddin Pangeran Ratu yang memerintah tahun 1234 H/1819 M-1236 H/1821 M dan Sultan Ahmad Najamuddin Prabu Anom yang memerintah 1236 H/1821 M-1238 H/1823 M.

 
Ada pun penulisan MS 1731 (PMM-PNM), 1297 H/1880 M, adalah bukan pada zaman pemerintahan Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo (1171 H/1758 M - 1190
H/1776 M), tetapi tahun yang berdekatan ialah pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Najamuddin Pangeran Ratu (1234 H/1819 M-1236 H/1821 M) dan Sultan Ahmad Najamuddin Prabu Anom (1236 H/1821 M-1238 H1823 M). Penulisan MS 1731 (PMM-

 
 
PNM),    1297    H/1880    M    bererti    terjadi    pada    tahun    kesultanan    Palembang    telah dimansuhkan oleh Belanda (pemansuhan terjadi tahun 1825 M). Daripada hal-hal yang tersebut di atas saya berkesimpulan bahawa masih sukar menentukan tahun-tahun kehidupan Syeikh Kemas Fakhruddin yang sedang dibicarakan ini, walau pun beliau telah menghasilkan karangan yang cukup memadai.

 
SENARAI KARYA DAN KETERANGAN

 
Informasi karya-karya Syeikh Kemas Fakhruddin berdasarkan tulisan Salman Aly setakat ini baru diketahui empat buah. Sungguh pun demikian bagi saya dua buah di antaranya masih belum jelas sebagai karyanya, yang akan dijelaskan sebagai berikut di bawah ini:

 
1. Tuhfah az-Zaman fi Zharfi Ahli al-Yaman. Kitab ini dikatakan karya Syeikh Kemas Fakhruddin disebut oleh Salman Aly. Walau bagaimana pun manuskrip judul ini yang tersimpan di Perpustakaan Bodleian Universiti Oxford MS. Malay ternyata nama penterjemah tidak terdapat. Oleh itu masih diragukan sebagai karya Syeikh Kemas Fakhruddin.

 
Mengenai tahun selesai penulisan ada catatan dinyatakan di Palembang tahun 1175
H/1761 M. Karya ini bererti mendahului karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani berjudul Zahrah al-Murid (1178 H/1764 M) sekitar tiga tahun. Manuskrip setebal 324 halaman di atas kandungan keseluruhannya ialah mengenai ilmu falakiyah / astronomi. Pada mukadimah digubah puisi dalam bahasa Melayu, adalah sebagai berikut: ``Bahawa ini kitab ramal namanya, karangan Syeikh Syaddadiyah namanya Negeri Yaman tempat kediamannya, telah masyhurlah di dalam zamannya Tersurat ia pada hari Jumaat, pada bulan Safar ketika Zuhrah. Seribu seratus diperhijrah, tujuh puluh lima tarikh Nubuwah. Adalah yang menyurat kitab ini, faqir yang hina dalam negeri. Daripada surat ibni as- Sulthani, Pangeran Ratu negeri Falimban. Hai sekalian orang `arif yang ikhwan, jika dikau lihat maknanya bersalahan. Perbaiki olehmu supaya bayan, kepada yang thalib berteman kesukaan. Kerana Pangeran sangat bebalnya, belum tahu pada bahasa Arabnya. Melayu pun lagi belum didapatnya, daripada sangat berkehendak padanya.''

 
2. Khawash al-Quranil `Azhim. Salman Aly menulis, ``... sebuah kitab yang penuh kutipan-kutipan al-Quran terutama yang berkenaan dengan nilai-nilai luhur. Kitab yang ditulis pada tahun 1769 ini dianggap oleh van Ronkel sebagai sebuah karya terjemahan dari Tamimi''. Saya memiliki sebuah manuskrip yang tersebut ini yang diperoleh di Pontianak pada 17 Ramadan 1420 H/20 Disember 1999 M. melalui Rahmatillah dan Muhammad Safar yang diperoleh di persekitaran istana kesultanan Pontianak.

 
Benar

 
Pendapat Salman Aly di atas masih belum dapat diterima sepenuhnya kerana pada manuskrip    tersebut    tidak    terdapat    nama        Syeikh    Kemas    Fakhruddin    sebagai penterjemahnya.    Yang    dapat    disepakati    ialah    kandungannya    memang        benar membicarakan fadhilat-fadhilat ayat-ayat dalam al-Quran. Mulai penulisan 1183 H/1769 M. Bererti dalam tahun yang sama dengan penulisan Futuh asy-Syam. Pada mukadimah dinyatakan bahawa kitab ini diterjemahkan daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu adalah disuruh oleh Paduka Seri Ratu Ahmad Najamuddin. Karya asal disusun oleh asy-

 
 
Syeikh al-Imam al-'Alim al-Hakim al-Fadhil Ahmad bin Muhammad at-Tamimi Radhiyallahu
`anhu.

 
3.    Futuh    asy-Syam,    1183    H/1780    M,        kandungannya    merupakan    hikayat    lengkap peperangan yang dilakukan oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. sehingga berhasil menakluk    negeri    Syam.    Keseluruhan    kandungannya    merupakan    petikan    daripada karangan Syeikh Abu Abdullah Muhammad bin Umar al-Waqidi (lahir 130 H/747 M, wafat
207 H/823 M). Halaman akhir jilid pertama ditutup dengan kalimat, ``Syahdan kemudian daripada perang Hamash ini, maka iaitu menyambutkanlah waqi'ah perang tempat yang bernama Yarmuk. Maka di dalam perang itu, iaitu terlalu besar. Dan perang Yarmuk apabila tampaklah beberapa kelebihan dan ketinggian agama Islam dan tampaklah beberapa mukjizat Rasulullah Shallallahu alaihi kemudian daripada wafatnya di dalam perang. Inilah nyata shadaqal Quran al-'Azhim ... Dan perang inilah hampir-hampir habis kekuatan ahlir Rum adanya''. Kalimat terakhir daripada keseluruhan judul ini ditulis dalam bentuk puisi:

 
``Selesai kitab Futuh asy-Syam tersebut, pada bulan Safar, pada malam Jumaat. Seribu seratus daripada hijrat, delapan puluh tiga tarikh Nubuwat
Dan adalah yang menyurat kitab ini, yang bernama Kemas Fakhruddini. Dengan disuruh Pangeran Ratu ibni Paduka Seri Sulthan Ahmad Najamuddini. Yang duduk di atas Kerajaan Negeri Palembang Jawi Darul Ihsan''.
4. Mukhtashar Fat-hir Rahman, 16 Syaaban 1297 H/1879 M.

 
KEKELUARGAAN KEMAS

 
Sekian banyak tulisan yang telah saya baca mengenai Syeikh Kemas Fakhruddin maka tidak seorang pun menyebut nama orang tua ulama Palembang tersebut, demikian juga keturunannya. Yang pasti istilah `Kemas' barangkali digunakan untuk golongan kaum bangsawan yang berasal dari Palembang.

 
Beberapa orang ulama Palembang yang menggunakan istilah `Kemas' untuk namanya, di antaranya ialah: Kiyai Haji Kemas Muhammad Azhari (Kiyai Pedatukan), Kiyai Haji Kemas Abdur Rahman (Kiyai Delamat), Kemas Muhammad bin Ahmad dan ramai lagi. H. Rusdhy Cosim dalam Sejarah Kerajaan Palembang dan Perkembangan Hukum Islam menulis nama Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani juga meletakkan istilah `Kemas' pada awal nama. Saya berkesimpulan kemungkinan Syeikh Kemas Fakhruddin memang ada pertalian dekat dengan semua ulama Palembang yang layak diletakkan istilah `Kemas' pada awal namanya itu.